Kategori
kecacatan : Masalah Pembelajaran Spesifik Disleksia.
CONTOH 1
1.0 Definisi
Disleksia
Istilah
‘disleksia’ berasal daripada dua perkataan Latin dan Greek iaitu ‘dys'
yang bererti ‘kesukaran’ dan perkataan 'lexis' yang bermaksud ‘perkataan’. Manakala
menurut Kausmaul (1877), istilah ‘disleksia’ ini berasal daripada perkataan
‘aleksia’ yang membawa maksud ‘kebutaan kata’ (word blindness).
Menurut
Davis (1982), seseorang yang mengalami disleksia adalah pemikir visual yang
multidimensi kerana mereka berfikir dalam bentuk gambaran atau imej. Oleh itu,
kadangkala mereka sukar untuk memahami nombor, huruf, simbol dan perkataan yang
ditulis.
Selain itu,
disleksia merupakan kesukaran atau ketidakupayaan menguasai kemahiran membaca
oleh seseorang individu walaupun telah menerima pendidikan yang mencukupi.
(Mercer 1997 dan Smith 1999).
Disleksia bukan kecacatan fizikal dan tiada
kaitan dengan tahap kecerdikan atau IQ seseorang (Sofiah, 2000). Menurut BOLD
(2000), disleksia juga tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dirawat.
Kesimpulannya, istilah ‘buta huruf’ digunakan
untuk menerangkan kategori disleksia kerana disleksia bukanlah satu penyakit,
namun ia merupakan satu gangguan dalam pembelajaran seperti mengeja, membaca,
menulis dan mengira yang biasa dialami oleh kanak-kanak yang bermasalah
pembelajaran walaupun secara umumnya kanak-kanak disleksia ini mereka mempunyai
pemikiran yang normal.
1.2 Punca-punca
Disleksia:
Terdapat beberapa
perkara yang menjadi penyebab disleksia.
1.2.1 Keturunan
Antaranya ialah faktor keturunan. Menurut kajian Hallgren (1970) terhadap
12 pasangan kembar monozygote, beliau dapati bahawa keseluruhan keluarga 12 kes
itu bermasalah dalam ejaan dan bacaan semasa zaman kanak-kanak mereka. Selain
itu, beliau juga mendapati bahawa kanak-kanak lelaki lebih banyak menghidapi
masalah disleksia berbanding dengan kanak-kanak perempuan dengan kadar nisbah
3:1 atau 2:1 kerana lelaki lebih banyak memikul tanggungjawab berbanding
perempuan.
Di samping itu, simptom disleksia juga terdapat pada keluarga yang
mempunyai anggota kidal (John Bradford,1999). Menurut John, ibu bapa yang menghidap
disleksia secara tidak langsung akan menurunkan gangguan ini kepada
anak-anaknya atau anak kidal yang dikenal pasti menghidap disleksia kerana
berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika, beliau mendapati bahawa 80
peratus orang daripada subjek yang ditelitinya mempunyai sejarah anggota
keluarga yang mengalami masalah pembelajaran dan 60 peratus memiliki anggota kidal.
Kesimpulannya, masalah disleksia ini memang telah sedia ada dalam gen
keluarga mereka sendiri.
1.2.2 Pemakanan
Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa pemakanan juga termasuk dalam
kalangan faktor penyebab masalah disleksia. Berdasarkan beberapa penyelidikan,
terdapat beberapa unsur makanan yang jika diambil secara berlebihan dalam
jangka masa yang panjang akan menyebabkan gangguan otak.
Antaranya ialah salicylates, laktose, monosodium glutamate(MSG), benzoate,
ragi, antioksidan, amine, nitrate, tartarzine (zat pewarna makanan) dan
seumpamanya. Kesimpulannya, kesemua unsur bahan pengawet, penyedap makanan dan
pewarna tiruan tersebut boleh menyebabkan gangguan otak akibat daripada bahan
pencemar atau racun yang terkandung di dalamnya. Benarlah kata orang tua yang
mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit.
1.2.3 Perkembangan
Disleksia berlaku
secara perkembangan iaitu sedikit demi sedikit. Bahagian-bahagian tertentu
dalam otak penghidap disleksia yang tidak cukup matang menjadi faktor bahagian
otaknya yang mengawal bacaan dan ejaan tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya
dan berlaku kecelaruan dalam dua hemisfera celebral iaitu hemisfera kiri dan
kanan untuk menguasai kedua-dua kemahiran tersebut. Disebabkan bahagian otak
pada hemisfera kiri lemah, maka kanak-kanak disleksia ini mengalami
keterbalikan huruf dan perkataan.
1.3 Ciri-ciri
Disleksia:
Rohana 1998 menyatakan bahawa kanak-kanak disleksia dikesan melalui 8 ciri
iaitu kosa kata tulisan tidak seimbang dengan kosa kata lisan, lambat dalam
tindakan lisan, lemah dalam menyusun isi barangan, tahu pada sesuatu ketika dan
lupa pada hari berikutnya, kurang kemahiran mengeja pada tahap yang sepatutnya,
faham bahan pengajaran dalam kelas tapi merosot dalam ujian, tidak tepat dalam
bacaan dan tidak terancang.
Antara ciri disleksia ialah mengeja. Apabila mengeja, kanak-kanak disleksia
ini sering keliru untuk mengenal pasti huruf yang hampir serupa bentuknya
seperti ‘b’ dengan ‘d’, ‘c’ dengan ‘e’, ‘h’ dengan ‘n’, ‘w’ dengan ‘m’, ‘m’
dengan ‘n’, ‘p’ dengan ‘q’, ‘u’ dengan ‘n’, dan antara ‘y’ dengan ‘g’ atau
dengan ‘j’. Tahap perbendaharaan mereka lemah kerana mereka tidak dapat mengeja
perkataan yang asas dan mudah seperti yang telah boleh dieja oleh seseorang
kanak-kanak yang seusia mereka.
Apabila membaca, kanak-kanak disleksia ini cenderung untuk menterbalikkan
suku kata perkataan seperti ‘batu’
menjadi ‘tuba’ , dan ‘gula’ menjadi ‘lagu’. Mereka juga membalikkan ayat
seperti ayat ‘pada masa yang sama’ menjadi ‘dapa sama yang masa’. Kanak-kanak
ini turut keliru dengan perkataan bahasa Melayu dengan perkataan bahasa
Inggeris yang sama seperti ‘air’ dan ‘air’(udara) , ‘cat’ dan ‘cat’(kucing),
dan lain-lain.
Kanak-kanak disleksia ini menghadapi masalah dalam menulis. Mereka sukar memindahkan
maklumat ke atas kertas kerana mereka tidak dapat memindahkan fikiran mereka
daripada otak kepada tangan. Mereka juga sukar memegang pensel dan tidak dapat menulis
mengikut garisan yang disediakan. Kanak-kanak ini cenderung untuk menulis
perkataan yang pelik-pelik.
Selain itu, disebabkan pemprosesan maklumat yang diperoleh oleh mereka agak
lambat, mereka mengalami kesukaran untuk bertutur dan kelihatan seperti tidak
mendengar atau tidak endah keadaan sekelilingnya. Mereka juga tidak dapat
menyusun sesuatu mengikut susunannya.
Tambahan pula, kanak-kanak disleksia ini juga keliru terhadap tanda atau
simbol matematik seperti simbol ‘+’, ‘-‘, dan ‘=’. Mereka turut keliru dengan nombor
yang sama bentuk. Contohnya, nombor 3 ditulis sebagai nombor 5 atau 8, dan
nombor 9 ditulis sebagai nombor 6.
Ciri-ciri kanak-kanak disleksia yang lain ialah pakaian mereka yang sentiasa
tidak kemas tetapi tidak kotor dan sering silap membutangkan baju, kidal, dan
kurang pandai mengikat tali kasut. Mereka juga kelihatan seperti berminat dalam
pelajaran namun sering dilabel sebagai pemalas dan kelihatan bodoh, dan akhir
sekali, skop penglihatan mereka agak terhad kerana mereka keliru antara depan,
belakang, kiri, kanan, atas, bawah serta pengamatan mereka juga lemah.
1.4 Keperluan
kanak-kanak Disleksia:
Kanak-kanak disleksia ini perlulah dibantu supaya mereka tidak berasa
rendah diri. Guru Pendidikan Khas haruslah membantu keluarga kanak-kanak
disleksia ini dalam mengendalikan masalah disleksia anak mereka dan membina
keyakinan dalam diri keluarga dan kanak-kanak itu sendiri bahawa mereka itu
masih mempunyai harapan untuk dididik. Guru boleh memberi pendidikan dan pendedahan
yang menyeluruh mengenai disleksia kepada ibu bapa kanak-kanak ini supaya
mereka dapat mengenali masalah anak mereka dengan lebih mendalam.
Selain itu, penyakit-penyakit lain seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang
Daya Tumpuan (ADHD) yang mungkin berkait dengan kanak-kanak disleksia mestilah
dirawat. Di samping itu, potensi pembelajaran kanak-kanak disleksia hendaklah
dipertingkatkan melalui terapi pertuturan, latihan pendengaran dengan bantuan
komputer, pendekatan pelbagai deria iaitu dengan menggunakan deria lain untuk
membantu pembelajaran, melalui deria sentuhan iaitu dengan menggunakan lakaran
atas kertas pasir, melalui deria pendengaran iaitu dengan menggunakan ritma
perkataan atau huruf, dengan menyuruhnya merasa pergerakan bibir, dan akhir
sekali, menyuruhnya menulis huruf atau perkataan.
Bagi langkah pemulihannya pula, kanak-kanak disleksia ini haruslah
dibantu untuk menguasai maklumat secara
beransur-ansur, mengamalkan konsep pengulangan semasa mengajar mereka iaitu
konsep ajar berlebihan, dan boleh juga menggunakan video atau kaset dalam
pembelajaran kanak-kanak disleksia ini. Mereka ini juga perlulah dihantar untuk
mengikuti program pemulihan khusus kerana terdapat sekolah yang mempunyai
program pemulihan khusus untuk disleksia.
CONTOH 2
2.0 DISLEKSIA
Perkataan “disleksia” (dyslexia) adalah hasil gabuangan dua perkataan Yunani iaitu “Dys” yang bermaksud kesukaran dan “Lexis” bermaksud perkataan. Dengan kata lain, disleksia membawa maksud kesukaran menggunakan perkataan. Istilah ‘buta huruf’ juga digunakan untuk kategori ini. Perkataan “dislekia” telah diperkenalkan oleh seorang professor, yang juga merupkan seorang pakar perubatan dan ahli ophthalmologi, dari Berlin pada tahun 1887. (Hammond dan Hugges, 1996 dalam SpeEd, 2007)
Menurut World Federation Of Neurology (1968), ‘disleksia ialah satu gangguan dalam kanak-kanak yang telah menerima pendidikan biasa namun tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf umurnya’. (SpeEd, 2007)
Selain disleksia, terdapat juga beberapa perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia. Antaranya ialah diskalkulia, disgrafia dan diapraksia. Diskalkulia terjadi apabila kanak-kanak bermasalah dalam pengiraan ataupun matematik. Manakala disgrafia berlaku apabila kanak-kanak bahasa dan dispraksia terjadi apabila kanak-kanak bermasalah dalam koordinasi motor-mata-tangan.
Menurut Sariah Amirin (2000) kanak-kanak disleksia membingungkan. Mereka dilihat cerdik dan berkemampuan, segar dan berminat, mempunyai kemahiran lisan yang baik
tetapi kemahiran membaca dan menulis mereka lemah daripada yang dijangkakan. Biasanya kanak-kanak ini akan dianggap tidak menumpukan perhatian, malas atau cuai.
2.1 Definisi Disleksia
Disleksia membawa maksud yang berbeza bagi setiap orang. Terdapat penulis atau pengkaji yang mendefinisikan disleksia dari segi semua aspek bahasa, iaitu dari segi pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan. Terdapat juga yang memberi maksud disleksia dari segi pembacaan sahaja.
Kebayakkan penulis dan pengkaji menakrif disleksia dari segi pembacaan. Orton (1937) mendefinisikan disleksia sebagai satu keadaan di mana pembacaan kanak-kanak tidak sama seperti kanak-kanak yang lain, iaitu kanak-kanak tersebut membaca lebih lambat daripada kanak-kanak yang sebaya dengannya. Cara pembacaan kanak-kanak disleksia termasuk pembacaan terbalik dan juga keliru antara perkataan-perkataan yang biasa. Beliau memberi contoh perkataan “saw” akan dibaca sebagai “was”. Disebabkan kanak-kanak disleksia sering membaca terbalik, beliau mencadang perkataan “strephosymbolia” yang membawa maksud ‘simbol terbalik’. (Goldberg et al., 1983) Høien dan Lundberg (1989) juga memberi maksud yang hampir sama, iaitu disleksia merupakan kekurangan fonologik khusus yang dicirikan dengan kelambatan yang luar biasa dalam penukaran ortografi bahasa tulisan kepada fonologi yang setara. (Hugdahl & Heiervang, 2003) Ortografi melibatkan satu sistem yang mengaitkan bunyi dengan simbol-simbol penulisan. Ia merupakan kajian bahasa yang melibatkan huruf-huruf dan ejaan. (Merriam-webster, 2008) Harm dan Seidenberg (1999) juga mengaitkan disleksia dengan pembacaan. Mereka menyatakan bahawa disleksia merupakan kegagalan untuk memperoleh kemahiran-kemahiran membaca yang setaraf umur kanak-kanak walaupun terdapat peluang-peluang pembelajaran. Menurut mereka, definisi ini mencadangkan bahawa disleksia adalah jelas apabila pembacaan dan ejaan tidak berkembang dengan sepenuhnya atau berkembang dengan susah. (Breznitz et al., 2003) Menurut Csépe (2003) disleksia, yang juga dikenali sebagai “reading disorder” (RD), merupakan kecacatan khusus dalam kemahiran membaca. Menurut beliau lagi, kebanyakkan kes disleksia mempunyai kesan yang berpanjangan sepanjang hidup seseorang individu. Pakar psikiatrik kanak-kanak, Dr. Tjhin Wiguna juga menyatakan bahawa disleksia merupakan salah satu jenis kesulitan pembelajaran spesifik yang juga disebut sebagai kesulitan membaca. (Kompas CyberMedia, 2004)
Namun begitu, terdapat juga penulis dan pengkaji yang mendefinisikan disleksia dari sudut semua kemahiran bahasa, iaitu dari segi pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan. Tetapi jarang pendengaran akan termasuk dalam definisi disleksia. Namun, menurut Goldberg et al. (1983) disleksia merupakan satu gangguan dalam satu atau lebih proses psikologi asas yang melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa; sama ada pertuturan atau penulisan; dan juga ketidakupayaan untuk mendengar, berfikir, bercakap, menulis, mengeja atau pengiraan. Kanak-kanak yang mempunyai gangguan pembelajaran ini mungkin mempunyai perbezaan antara pencapaiannya dan kebolehan mental dari segi bercakap, mendengar, menulis, kemahiran asas membaca, pemahaman, pengiraan matematik dan penaakulan matematik. Selain itu, disleksia juga adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap disebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan. Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. (SpeEd, 2007)
Pada kebiasaanya, disleksia tidak akan termasuk masalah pendengaran. Biasanya, selain pembacaan, ejaan dan penulisan juga yang termasuk dalam definisi disleksia. Seperto definisi disleksia menurut Critchley (1970), disleksia adalah kesulitan untuk membaca, menulis, dan mengeja, tanpa gangguan sensori perifer. ‘Tanpa gangguan sensori perifer’ bermaksud kanak-kanak disleksia tidak mempunyai kekurangan pendengaran atau penglihatan, kognitif yang rendah, masalah emosi atau kurang bermotivasi. (Kompas CyberMedia, 2004) Thomson (1990) juga mendefinisikan disleksia sebagai “masalah perkataan” yang tidak terhad kepada pembacaan sahaja tetapi merangkumi masalah ejaan, menulis dan aspek bahasa yang lain. Menurut Pierangelo (1996) disleksia merupakan kesukaran menggunakan perkataan. Beliau juga menyatakan bahawa disleksia ialah golongan yang sukar dalam mengenal huruf, membaca, menulis mengeja dan memahami teks bacaan. Ia merupakan ketidakupayaan atau masalah pembelajaran yang khusus dan teruk. (Sri Cempaka, 2007) Word Federation of Neurology (1998) pula menyatakan bahawa disleksia ialah satu ‘disorder’ dalam kanak-kanak yang telah menerima pendidikan biasa, tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan dan ejaan yang setaraf intelek.
Walaubagaimana pun, terdapat juga kenyataan bahawa kanak-kanak disleksia mempunyai kemahiran dan bakat-bakat lain disebalik malasah pembelajaran mereka tersebut. Sariah Amirin (2000) memberi maksud disleksia sebagai kesukaran pembelajaran yang spesifik yang disebabkan oleh kelewatan perkembangan menyeluruh. Kanak-kanak disleksia susah menguasai kemahiran membaca dan menulis, tetapi merek memiliki bakat, kepintaran, atau kecerdasan yang lain. Hal ini disebabkan oleh perbezaan dalam cara otak memproses maklumat, terutama sekali berkenaan dengan bunyi, simbol dan makna. Untung S. Drazat (2006) menyatakan bahawa disleksia adalah sejenis kesulitan pembelajaran yang ditanda dengan kesulitan membaca. Beberapa kanak-kanak yang mengalami disleksia juga berkemungkinan mengalami kesulitan menulis, dan kadang-kala juga kesulitan berbicara atau berhitung. Beliau menyambung bahawa ramai kanak-kanak disleksia mempunyai potensi untuk berprestasi yang amat luar biasa dan mempunyai kecekapan mental yang tinggi.
2.2 Ciri-ciri Kanak-kanak Disleksia
Menurut Sri Cempaka (2007), secara umumny, antara ciri-ciri kanak-kanak disleksia ialah mereka sangat menumpukan perhatian dan komited tetapi gagal. Mereka pandai dalam bidang seni. Semasa membaca, mereka perlu menggunakan jari untuk membaca dan juga untuk mengira. Kanak-kanak disleksia minat belajar dan nampak pandai, namun mereka lemah dalam pelajaran kerana sukar untuk dikuasai. Jika mereka gagal disekolah, mereka akan sangat kecewa. Selain itu, mereka selalu jatuh (clumsy) dan terlupa nama benda-benda. Mereka juga sering berhadapan dengan bentuk emosi yang tidak menentu (moody) tanpa sebab-sebab tertentu. Sri Cempaka juga memberi ciri-ciri secara khusus berdasarkan kemahiran-kemahiran asas bahasa, namun ciri-ciri ini akan dibincangkan kemudian, iaitu daripada 2.2.2 sehingga 2.2.7. Ciri-ciri yang ditulis diberi oleh Sri Cempaka (2007) dan akan ditambah dengan ciri-ciri oleh pengkaji dan penulis lain.
Selain Sri Cempaka, SpeEd. (2007) memberi ciri-ciri dalam kanak-kanak prasekolah. Guru-guru prasekolah boleh menggunakan tanda-tanda ini untuk mengenal pasti kanak-kanak disleksia. Antara tanda-tanda kanak-kanak prasekolah ialah kemahiran bertutur mereka lambat dan mereka sukar memahami arahan. Selain itu mereka suka mengganti perkataan dan hiperaktif. Kemahiran motor kasar dan motor halus mereka lemah. Sebagai contoh, mereka sentiasa melanggar barang di sekitar mereka dan sukar membaling atau menangkap bola. Contoh untuk motor hauls yang lemah, mereka tidak dapat memegang alat tulis atau tidak boleh menggunting. (Sariah Amirin, 2000) Mereka juga seringkali terlupa nama benda-benda atau pelajaran yang dipelajari. Selain daripada itu, mereka suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri. Mereka sifat ingin tahu tinggi, berminat terhadap pekara baru dan suka bertanya banyak soalan.
2.2.1 Otak Kanak-kanak Disleksia
Sariah Amirin (2000) memberi ciri-ciri kanak-kanak disleksia daari segi otak mereka. Otak manusia terbahagi kepada dua sfera, kanak dan kiri. Sfera sebelah kiri digunakan untuk penggunaan bahasa, pemikiran logik, susunan dan struktur. Manakala sfera sebelah kanan digunakan untuk visual, daya kreatif, dan kemahiran seni. Kebanyakan orang dapat mengembangkan kedua-dua jenis kemahiran tetapi pada kebiasaannya satu bahagian otak akan menjadi lebih dominan. Orang disleksik lazimnya cenderung menggunakan otak kanan. Cara berfikir dan belajar mereka berlainan. Mereka berbakat kreatif atau seni, walaupun mereka lemah dalam kemahiran bahasa, logik, turutan dan struktur. Menurut Sariah Amirin (2000) lagi, cara orang disleksia memerhati dan berfikir boleh dianggap satu “anugerah” dan bukannya satu masalah.
2.2.2 Masalah Pendengaran
Dari segi mendengar, mereka kelihatan seperti tidak mendengar (Sri Cempaka, 2007) atau tidak mempedulikan (SpeEd, 2007). Hal ini kerana mereka lambat dalam memproses maklumat mereka terima. Maka, mereka tidak akan melakukan arahan yang diberi oleh guru, terutamanya jika arahan tersebut terlalu panjang. Mereka juga tidak akan menyusun sesuatu mengikut susunan, contoh melakukan arahan mengikut urutan. Namun, mereka suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat untuk membaca sendiri.
2.2.3 Masalah Pertuturan
Dari segi pertutran pula, mereka menghadapi kesukaran bertutur dan juga mempunyai kesukaran untuk mengeluarkan atau memilih perkataan yang sesuai semasa bercakap bagi menyampaikan maksudnya. (Untung S. Drazat, 2006) Hal ini mungkin kerana perkembangan pertuturan dan bahasa yang lambat. Selain itu, bahasa lisan lebih baik daripada penulisan. Mereka suka belajar dengan irama kanak-kanak “nursery rhymes”.
2.2.4 Masalah Mengeja
Menurut SpeEd (2007) kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Untuk tempoh jangka masa yang panjang, kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca dan memulis. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti: ‘m’ – ‘w’, ‘y’ – ‘g’ – ‘j’, ‘u’ – ‘n’,’m’ – ‘n’, ‘c’ – ‘e’, ‘p’ – ‘q’, ‘h’ – ‘n’ dan ‘b’ – ‘d’. Selain itu, terdapat juga kekeliruan dalam membunyikan huruf seperti ‘t’ - ‘h’ dan ‘f’ - ‘v’. Hal ini akan menyebabkan mereka kelihatan seperti tidak berhati-hati apabila mengeja. (Sri Cempaka, 2007)
Pengeliruan huruf akan menyebabkan kemahiran mengeja kanak-kanak lemah dan ejaan mereka sering tidak konsisten. Mereka tidak boleh mengeja perkataan asas dan mudah yang seharusnya boleh dieja oleh seseorang murid mengikut umur mereka. Tahap perbendaharaan kata mereka lemah. Contohnya murid tahun 1 sepatutnya boleh mengeja perbendaharaan kata mudah seperti baju, muka, emak, nama sendiri dan lain-lain lagi.
Mereka keliru antara perkataan yang hampir sama, contoh ‘buah’ dan ‘bahu’. Mereka juga keliru huruf atau bunyi abjad yang hampir sama dalam suku kata, contohnya ‘almari’ dan ‘lamari’. Selain itu, mereka menggbungkan suku kata secara terbalik, contohnya ‘baju’ menjadi ‘juba’ dan juga salah menyusun abjad dalam perkataan, seperti ‘sabun’ menjadi ‘basun’.
2.2.5 Masalah Membaca
Disleksia biasanya dikaitkan dengan membaca. Kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai kemahiran membaca lemah. Kemampuan pembacaan kanak-kanak disleksia tidak setaraf dengan kemampuan kanak-kanak seusianya. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004) Apabila mereka membaca, mereka teragak-agak walaupun mereka menggunakan jari untuk menolong mereka membaca. Kadangkala cara membaca mereka seperti mereka gagap. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004) Mereka sukar memahami dan menggunakan teks bacaan. Mereka juga lemah atau tidak pandai menggunakan intonasi dan ekspresi yang sesuai. Intonasi mereka akan turun dan naik mengikut gerak hati mereka. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004) Selain itu, apabila membaca mereka tidak menghiraukan tanda baca dan suka menambah perkataan pada bacaannya. Mereka juga sering melangkau baris semasa membaca dan salah sebut perkataan, terutamanya perkataan yang tidak biasa digunakan. Terdapat juga kanak-kanak yang pura-pura membaca buku berpandukan gambar yang dilihat atau mereka ciptakan.
Masalah yang paling terkenal dengan disleksia ialah kanak-kanak sentiasa keliru dengan perkataan dan huruf yang kelihatan sama. Mereka akan membaca perkataan terbalik, contoh seperti ‘batu’ menjadi ‘tuba’, ‘gula’ menjadi ‘lagu’ dan sebagainya. Selain pembalik perkataan, mereka juga terbalik dalam konsep ruang. Misalnya, mereka keliru terhadap pemahaman konsep atas dan bawah, depan dan belakang dan sebagainya. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004) Selain itu, mereka juga keliru kedudukan huruf dalam perkataan, seperti ‘makan’ menjadi ‘makna’; dan keliru antara perkataan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang hampir sama, seperti ‘jam’ dan ‘jem’, ‘cat’ (kucing) dan ‘cat’ dan lain-lain. Penambahan dan pengurangkan huruf juga berlaku, contohnya ‘bulan’ menjadi ‘bulang’ dan ‘bunga’ menjadi ‘buna’. Kadangkala huruf vokal yang mereka baca tidak jelas atau mereka mengganti konsonan. (Untung S. Drazat, 2006)
Orton mencatat bahawa banyak anak disleksia yang kidal atau ambidextrous, iaitu dapat menggunakan kedua belah tangan untuk menulis, akan seringkali membaca dari kanan ke kiri. (Untung S. Drazat, 2006) Contohnya, ‘Pada masa yang sama’ akan menjadi ‘Dapa sama yang masa’. (SpeEd, 2007)
2.2.6 Masalah Menulis
Kanak-kanak disleksia tidak suka menulis. Mereka menulis lebih lambat berbanding dengan rakan sebaya mereka. Sewaktu menulis, mereka sering mengigit jari atau pen dan tenung buku seperti tidak faham. Mereka akan menekan pencil semasa menulis. Mereka sukar menulis atau memindahkan maklumat ke atas kertas. Hal ini keranan apabila mereka cuba menulis dan mengeja apa yang difikirkan, mereka tidak dapat pindahkan fikiran mereka daripada otak kepada tangan. Kadangkala mereka perlu fikir begitu lama susunan huruf sehingga mereka lupa apa yang mereka sedang cuba menulis. (Sariah Amirin, 2000) Hal ini juga akan menyebabkan mereka sukar menyalin maklumat atau meniru dari papan tulis atau buku teks serta yang dikatakan atau disebut oleh guru. Mereka akan meninggalkan atau menyelit perkataan dan juga meninggalkan atau menyelitkan huruf serta selalu terpaksa menyalin daripada rakan.
Bentuk penulisan mereka berbeza-beza. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memegang pensel dan tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. (SpeEd, 2007) Tulisan mereka amat sukar dibaca dan tidak kemas. Mereka akan menulis terbalik, iaitu dari kanan ke kiri (SpeEd, 2007) dengan bentuk abjad yang tidak jelas dan mereka juga kerap menggunakan pemadam semasa menulis. Selain itu, mereka lemah atau tidak pandai menggunakan tanda baca atau huruf besar. Mereka biasanya tidak akan memulakan huruf besar dipermulaan ayat dan sering campurkan huruf besar dengan huruf kecil dalam sebuah perkataan. Apabila menulis ayat, terdapat kanak-kanak yang tidak menjarakkan perkataan dalam sebuah ayat: Sayasukabermain. Terdapat juga kanak-kanak yang menjarakkan perkataan dengan salah: Say asu kaberm ain. Selain itu, kanak-kanak ini juga cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik dan keliru dengan perkataan pendek seperti ia, dia, ini dan sebagainya.
2.2.7 Masalah Matematik dan Nombor
Sama seperti, kanak-kanak keliru antara huruf yang hampir sama, kanak-kanak disleksia juga keliru dengan nombor yang sama bentuk, contohnya: 3 – 5 – 8, 9 – 6 (Sri Cempaka, 2007) dan 2 – 5 (Untung S. Drazat, 2006) Selain itu, mereka juga terbalik susunan nombor, contoh 45 menjadi 54.
Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental. (SpeEd, 2007) Mereka keliru atau tidak memahami tanda-tanda dan simbol-simbol matematik, contohnya: +, - dan =. Selain itu, mereka keliru dengan konsep masa, waktu dan konsep wang. Mereka sukar dalam menyusun atur maklumat, seperti hari-hari dalam seminggu dan bulan-bulan dalam tahun dan sukar mempelajari sifir matematik.
2.3 Punca-punca Disleksia
Mengikut Mercer (1997), Hammond dan Hughes (19960 dan Spaafford dan Grosser (1996) terdapat tiga punca disleksia. (SpeEd, 2007)
2.3.1 Keturunan atau Genetik
Masalah disleksia boleh diwarisi, cuma darjah keterukan disleksia yang dialami mungkin berbeza. (Sri Cempaka, 2007) Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah yang sama. Menurut seorang pakar pediatrik neurologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Rithauddin bin Mohamed (n.d.), jika dalam kalangan keluarga tersebut, salah seorang antara adik-beradik yang mempunyai disleksia, maka ibu mempunyai risiko 40% untuk melahirkan kanak-kanak yang disleksia. Manakala, jika ibu atau bapa yang mempunyai disleksia, anak yang dilahirkan 25-50% berkemungkinan mempunyai disleksia juga. Selain itu, kajian telah membuktikan disleksia yang disebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 diwarisi secara turun-temurun (British Psychological Society, 1991 dan Hammond dan Hughes, 1996 dalam Sri Cempaka, 2007)
2.3.2 Biologi
Punca biologi bermaksud kesukaran ibu semasa bayi dilahirkan seperti lahir tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau komplikasi yang dihadapi ibu semasa proses kelahiran. Kesemua faktor ini berkemungkinan menyebabkan ketidaksempurnaan perkembangan pada otak yang menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi masalah disleksia (Hammond dan Hughes, 1996 dalam Sri Cempaka, 2007) Sebahagian daripada kerosakan otak mungkin menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar. (SpeEd, 2007) Dejerine (1892) telah membuat kesimpulan bahawa disleksia adalah berpunca daripada kerosakan pada ‘Corpus Callosum’ dan ‘Visual Cortex’ dalam otak manusia. (Sri Cempaka, 2007) Corpus callosum merupakan kumpulan-kumpulan saraf yang menghubungkan dua hemisfera otak. (Tobin, 2007) Manakala, Visual Cortex merupakan bahagian belakang otak yang juga dikenali sebagai occipital lobe dan melibatkan penglihatan, walaupun dilihat jauh daripada kedudukan mata. (Perkins, 2007)
2.3.3 Kematangan
Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada bahagian tertentu dalam sistem saraf. Biasanya terdapat perbezaan dalam perkembangan sistem saraf manusia. Terdapat kanak-kanak yang lebih lambat perkembangannya pada bahagian-bahagian tertentu dalam sistem saraf jika dibandingkan dengan rakan sebayanya. (Sri Cempaka, 2007). Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak permepuan. Perkembangan kematangan kanak-kanak lelaki secara umumnya berlaku secara mendadak dan tidak berperingkat seperti kanak-kanak perempuan. (Sri Cempaka, 2007) Kelewatan kematangan pada kanak-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia. (SpeEd, 2007)
2.4 Statistik Disleksia
Menurut Smythe et al. (2004) dalam bukunya International Book of Dyslexia: A Cross-Language Comparison and Practice Guide, peratusan kanak-kanak disleksia di Malaysia hanya 5%. Manakala di Singapura, hanya 3.3% kanak-kanak mempunyai disleksia. Di tempat-tempat lain di Asia, seperti di Jepun, peratusan juga adalah rendah, iaitu 6% sahaja. Namun, di negara-negara barat, seperti di USA dan Finland, peratusan adalah tinggi, iaitu 8.5% dan 10% masing-masing.
Menurut Tjhin Wiguna (Kompas CyberMedia, 2004), disleksia lebih banyak dijumpa pada kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Katanya, "Dulu memang ada pendapat yang mengaitkan dengan adanya kekurangan hormon testosteron pada janin lelaki semasa dalam kandungan. Kekurangan hormon dikaitkan dengan terjadinya gangguan perkembangan bahagian otak sebelah kiri yang memang diatur oleh hormon ini, yang akan mengakibatkan disleksia di kemudian hari".
Namun beliau menyambung, bahawa sekarang dalam penelitian epidemiologi yang baru, nisbah disleksia pada kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan adalah seimbang. Walaupun demikian, di sekolah kanak-kanak lelaki yang mempunyai disleksia lebih mudah dikesan. Hal ini kerana kanak-kanak lelaki hiperaktif, sukar memberi perhatian dan mempunyai masalah atau gangguan tingkah laku.